Showing posts with label Tips dan peralatan. Show all posts
Showing posts with label Tips dan peralatan. Show all posts

Saturday, June 11, 2011

Panduan Membuat Cheesecake

Kalau kita membuat sendiri kek keju, kosnya tidaklah sampai RM20. Tetapi kalau kita beli di kedai bakeri harganya mencecah RM60 sebiji. Dan yang pentingnya kita tak pasti samada ianya halal kerana kalau dibuat oleh bukan Islam,tentunya mereka letakkan wain atau likuer dalam kek untuk tahan lama. Untuk jimatkan kos terutama membeli krim keju dan whipping cream, belilah di kedai menjual bahan kek kerana lebih murah berbanding pasaraya biasa. Misalnya, krim keju Philadelphia (250 gm) berharga RM11 di pasaraya biasa, tetapi di kedai bahan kek seperti Bake With Me dan lain-lain, harganya cuma RM7.00 dan untuk 500gm, RM11. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain, lebih murah.

Secara ringkasnya, kek keju boleh dibahagikan kepada dua jenis ialah jenis bakar(bake) dan juga jenis dingin (chill). Jenis dingin lebih mudah kerana tidak perlu membakar. You alls hanya perlu menyediakan lapisan asas (base) yang terdiri dari kek span atau biscuit crust. Tetapi kelemahan kek ini ialah ia perlu sentiasa didinginkan supaya tidak lembik.

Also, pastikan gelatin yang digunakan semasa membuat Chilled Cheesecake adalah jenis halal dari Pakistan yang berbentuk butiran kristal bewarna perang muda (kalau x silap, BWM ada jual). Apabila dicampurkan dengan air panas,ia agak kuat baunya tetapi akan hilang apabila bercampur dengan keju.

Kaedah Bain-Marie



Panduan Membuat Kek Keju
1. Keluarkan krim keju, 1 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.
2. Gunakan jenis krim keju Philadelphia (ketul) bukan jenis spreadable (dalam botol).
3. Gunakan kaedah water-bath,steam bake atau bain marie (caranya sama tapi ada nama berlainan). Caranya, sediakan loyang lebih besar saiznya dari tin kek.Masukkan air 1/4 bahagian dan masukkan tin kek atasnya. Masuk dalam oven dan bakar.
4. Gunakan suhu yang perlahan iaitu 160 darjah celcius dan bakar selama 1 1/2 jam hingga 2 jam.
5. Untuk tin pembakar, gunakan springform atau loose tin supaya mudah dikeluarkan. Jika tiada, boleh gunakan acuan biasa tetapi lapik dengan plastic wrap agar mudah dikeluarkan (utk cara dingin).
6. Jangan putar keju dan gula terlalu kembang kerana overbeat boleh sebabkan kek retak atau mendap apabila keluar dari oven.Kek keju tidak perlukan udara yang banyak.
7. Setelah 1 1/2 jam, cucuk kek di bahagian tengah dengan lidi untuk pastikan ia telah masak. Jika lidi masih ada adunan melekat, bakar untuk 30 minit lagi.
8. Jika permukaan kek sudah overbrown ( terlalu perang), tutup dengan kertas aluminium foil dan bakar semula.
9. Setelah kek masak, tutup api oven dan biarkan kek selama 30 minit.Jangan alihkan bekas airnya.Ini untuk mencegah kek mendap kerana perubahan haba.
10. Keluarkan kek dari ketuhar dan sejukkan.
11. Untuk kek jenis dingin,gelatin adalah bahan yang digunakan untuk setkan kek (mengeraskan kek). Cara membuatnya ialah,didihkan air dan masukkan gelatin.Angkat dari api dan kacau hingga gelatin hancur dan menjadi cair. Sejukkan sebentar sebelum dicampurkan dengan keju.
12. Whipping cream yang digunakan pula adalah jenis Dairy Whipping Cream (apa-apa jenama) yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream. Jangan gunakan Non-Dairy Whipping Cream (for topping), ianya hanya untuk hiasan atas kek.(sudah belajar kan dr post sebelum ni)
13. Setelah bahan-bahan dibancuh, tuangkan atas kek span atau biscuit crust dan simpan dalam peti sejuk (chiller) untuk 4 - 5 jam sehingga keras. Untuk cepatkan proses mengeras, simpan 1 -
2jam dalam freezer (tempat beku) kemudian alihkan ke tempat chiller.

Monday, June 6, 2011

Q&A Mengenai Kek

Membuat kek ni kadang-kadang cantik gebunya dan kadang-kadang pula kurang menjadi. Walaupun kita menggunakan resipi yang sama,tetapi teknik yang digunakan tidak seragam. Contohnya masa memukul mentega dan gula atau cara menggaul berbeza setiap kali kita membuat kek.Itulah sebabnya hasilnya pun tidak sama. Jadi adalah penting kita menyeragamkan teknik mengadun seperti yang diamalkan oleh bakeri-bakeri supaya produk kita sentiasa sama terutama untuk orang yang mengambil tempahan kek.

Dalam perkara membuat kek ini memang sering timbul masalah. Antara masalah yang sering dihadapi ialah seperti berikut :

1. Kek Tenggelam Di Tengah

Didalam ketuhar, kek naik dengan elok tetapi apabila ia dikeluarkan dan disejukkan, permukaannya menjadi mendap.Ada beberapa perkara yang menyebabkan ini berlaku.Antaranya sukatan tepung dalam kek tidak mencukupi. Apabila tepung kurang, ia tidak dapat menampung struktur kek, jadi ia mendap di tengah. Kek juga kemungkinan belum cukup masak di bahagian tengahnya. Jadi adalah penting untuk anda menyucuk bahagian tengah kek dengan lidi apabila cukup masanya. Jika ada bahan yang melekit, bakar lagi 10 minit hingga bahagian tengah masak. Kemungkinan lain ialah mentega dan gula tidak dipukul sehingga gebu. Ini menyebabkan ia kekurangan gelembung udara yang akan mengembang apabila terkena haba.

2. Kek Merekah di permukaan

Perkara ini adalah biasa jika rekahannya kecil sahaja dan ia akan rapat apabila sejuk. Tetapi jika rekahannya besar, ia akan menjejaskan rupabentuk kek anda. Ada beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya ialah suhu ketuhar yang terlalu panas ataupun kek anda agak kering kerana terlebih tepung atau kekurangan cecair. Jadi setkan ketuhar pada suhu yang biasa untuk kek iaitu 180 darjah celcius. Semak semula resipi anda agar kandungan bahannya seimbang. Gunakan juga saiz tin pembakar yang bersesuaian.

3. Kek tidak masak di tengah tetapi hangus di bahagian tepi.

Perkara ini mungkin berkaitan dengan ketuhar anda. Ia mungkin tidak berfungsi dengan baik dan perlulah diservis ataupun ditukar baru.

4. Kek padat dan berminyak

Proses memukul mentega dan gula hendaklah dilakukan hingga ia benar-benar kembang dan gebu. Ia ringan dan warnanya kuning keputihan. Masa memukul bergantung kepada pengadun masing-masing. Apabila memasukkan telur pula,hendaklah dimasukkan sebiji dan dipukul sebati barulah dimasukkan yang lain.Kemudian barulah masukkan tepung dan susu. Jika proses dilakukan dengan betul, insyallah kek anda akan jadi gebu dan lembut.

Do's and Don'ts When Baking Cake

Ramai antara kita yang minat membuat kek tetapi ada yang tidak ambil kisah tentang beberapa perkara penting sebelum membuatnya. Jadi marilah kita dapatkan informasi tentang panduan membuat kek.

1. Baca resipi dengan teliti untuk mendapatkan maklumat tentang cara memasak samada membakar atau mengukus, juga untuk mengetahui kaedah yang digunakan.

2. Sediakan barang-barang yang diperlukan samada bahan-bahan atau peralatan. Susunkan diatas meja.

3. Timbang bahan-bahan mengikut resipi.Jangan terlebih atau terkurang. Dapatkan bahan-bahan yang segar dan masih belum tamat tempoh.

4. Peralatan seperti pengadun(mixer), mangkuk adunan, pengaut, senduk dan lain-lain hendaklah dalam keadaan yang bersih.

5. Sediakan tin pembakar yang bersesuaian saiz seperti dinyatakan dalam resipi. Griskan dan lapik dengan kertas serap minyak. Tin untuk membuat kek span dan kek sifon tidak perlu digriskan.

6. Ketuhar (oven) hendaklah dibersihkan dari habuk atau tumpahan minyak.Panaskan ia ke suhu 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan kek.

7. Mentega atau krim keju hendaklah dikeluarkan dari peti sejuk 1/2 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah dipukul. Telur juga dikeluarkan agar ia bersuhu bilik.

8. Setelah memasukkan kek ke dalam ketuhar, setkan masa yang diperlukan untuk membakar. Jika kek mentega masa selalunya 1 jam, kek buah mengambil masa 1 1/2 jam dan kek span 45 minit sahaja.

9. Untuk membuat kek lapis, perlukan api atas dan bawah (grill). Gunakan ketuhar yang bersesuaian. Masa membakar juga singkat iaitu 7 -10 minit bergantung kepada jenis ketuhar.

10. Jangan buka pintu ketuhar 30 minit pertama kerana kek belum set. Haba yang keluar akan menyebabkan kek bantat. Selepas 45 minit anda boleh buka untuk menukar kedudukan kek.

11. Jangan masukkan terlalu banyak kek dalam satu ketuhar. Ini akan menyebabkan kekurangan haba dan kek akan jadi bantat.

12.Untuk menguji kek masak, cucuk bahagian tengah kek dengan lidi. Jika tiada melekit, ia sudah masak. Jika masih melekit. bakar untuk 10 minit lagi.

13. Tanda mudah kek telah masak ialah warnanya kekuningan, baunya harum dan ia lekang dari sisi tin pembakar.

14. Apabila kek telah masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan ia sejuk dalam tinnya selama 30 minit sebelum dikeluarkan. Untuk kek span dan kek sifon, telangkupkan tin setelah dikeluarkan dari ketuhar. Ini untuk mencegah kek mendap. Selepas 10 minit, pusingkan kek kedudukan asal dan keluarkan kek dengan mengikis sisinya dengan pisau.

15. Kek boleh dihidangkan apabila sejuk. Untuk menyimpannya, balutkan dengan kertas aluminium atau pembalut plastik. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk.Kek biasa tahan satu minggu sementara kek lapis pula tahan 1 bulan.

Sebab Mengapa Kek Kering


>>Kek yang lembap digemari ramai

Apabila membuat kek samada kek mentega, kek span atau kek lapis, kadangkala anda menghadapi masalah seperti kek anda kering. Banyak faktor mengapa kek itu kering tidak lembap seperti yang anda inginkan.Antara faktornya ialah:

1. Bahan-bahan tidak disukat betul
Kadangkala penimbang jenis spring yang kita gunakan tidak berfungsi dengan betul. Ini menyebabkan sukatan menjadi tidak tepat. Umpamanya tepung menjadi berlebihan ataupun kekurangan cecair dalam adunan kek. Oleh itu, saya menyarankan anda menggunakan penimbang jenis digital kerana timbangannya lebih tepat. Harganya dalam lingkungan RM120 dan boleh dibeli dari kedai-kedai menjual bahan kek. Walaupun harganya sedikit mahal dari penimbang jenis spring, tetapi berbaloi menggunakannya. Anda hanya perlu tukarkan baterinya sahaja dalam masa 2 - 3 tahun sekali.

2. Perbezaan bahan-bahan mentah
Bahan-bahan mentah memainkan peranan yang penting dalam pembuatan kek, kuih-muih atau biskut. Dari bahan-bahan asas seperti mentega, gula, tepung dan telur maka terhasillah sesuatu produk itu.Samada kek anda lembut dan lembap atau kasar dan kering bergantung kepada bahan-bahan yang anda gunakan. Dari pengalaman saya membuat kek mentega,penggunaan mentega tulen seperti Golden Churn lebih menghasilkan kek yang lebih lembap kerana kandungan airnya yang lebih berbanding mentega lepa susu seperti Buttercup. Jika saya menggunakan Buttercup, kek lebih kering dan saya terpaksa menambahkan sedikit air susu ke dalam adunan kek itu agar ia lembap.

Penggunaan tepung seperti tepung gandum , tepung kek dan tepung hong kong juga menghasilkan perbezaan dari segi tekstur dan kelembapan kek anda.Jika anda membuat kek lapis atau lain-lain kek menggunakan tepung gandum biasa (all purpose) kek akan lebih kasar, keras atau lebih kering. Oleh itu seelok-eloknya gunakan tepung kek atau superfine untuk membuat kek biasa dan untuk kek lapis sebaiknya gunakan tepung hong kong kerana ia lebih halus.

Penggunaan telur juga memainkan peranan kerana telur membekalkan cecair kepada adunan kek bagi menjadikan ia lembap.
 
3. Mengubah kuantiti bahan
Ada sesetengah orang yang suka mengubah kuantiti bahan yang telah ditetapkan dalam resipi.Jika dalam resipi menghendaki 10 biji telur, tapi dia gunakan 9 saja. Jika dalam resipi 100 gm susu pekat, dia kurangkan 50 gm saja, kononnya nak jimat. Jangan amalkan sikap sedemikian kerana anda tidak akan mendapat hasil yang sepatutnya kerana bahan-bahannya telah dikurangkan. Anda perlu cuba resipi yang asal dahulu, kemudian barulah anda boleh ubahsuai mengikut citarasa anda.

4. Suhu ketuhar
Di pasaran terdapat bermacam-macam jenis oven. Ada untuk kegunaan domestik dan ada untuk komersil. Jadi setiap oven adalah berlainan. Biasanya untuk membakar kek seperti mentega atau span suhunya ialah 180 darjah celcius dan memakan masa 45 minit - 1 jam. Tetapi untuk kek lapis, suhu yang biasa saya gunakan untuk oven saya ialah 150 darjah celcius. Kek menjadi kering kemungkinan kerana suhu oven tidak sesuai seperti terlalu panas ataupun dibakar terlalu lama. Bagi kek lapis, masa membakar adalah singkat (5-7 minit) kerana ia nipis. Jika dibakar terlalu lama ia akan menjadi kering. Kesimpulannya, anda perlu sesuaikan oven anda dengan jenis kek ,suhu dan tempoh masa yang paling sesuai untuk kek anda.

5.Penyimpanan
Kek yang baru keluar dari oven memang kering kerana masih lagi panas.Sebaik-baiknya sejukkan kek anda semalaman dan keesokannya barulah dipotong. Ini untuk memberi peluang kepada kek menyerap lembapan udara dan mengeluarkan minyak bagi melembapkan kek tersebut. Ataupun setelah kek anda disejukkan beberapa jam, balutkan ia dengan aluminium foil dan simpan semalaman. Keesokannya ia tentu akan menjadi lembap.Lagi satu kek jangan didedahkan kepada udara persekitaran terlalu lama kerana ia akan kering.Hidangkan yang hendak dimakan sahaja. Jika lebih, bungkus dengan aluminium foil atau plastic wrap dan simpan dalam bekas kedap udara.

Jadi, apakah penyelesaiannya jika kek kering? Penyelesaian secara ad hoc ialah anda balutkan kek dengan alumnium foil dan simpan semalaman,esoknya baru dimakan. Penyelesaian jangka panjang ialah tambahkan sedikit air susu (jika kek mentega) dalam resipi anda. Untuk kek lapis, sila semak maklumat diatas dan buat pembetulan.Anda juga boleh menambahkan kandungan susu pekat atau mengurangkan kandungan tepung dalam resipi.

Kek Merekah? Kenapa?


>>Kek yang mempunyai komposisi bahan yang seimbang dan suhu oven yang stabil tidak akan merekah.
 
Adakalanya kek yang kita buat menjadi merekah seperti gunung berapi yang meletus.Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa jadi begitu. Saya pernah membuat sebiji kek coklat moist yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi. Apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat luas. Nasib baiklah apabila sejuk, rekahannya kecut sedikit dan bolehlah ditutup dengan topping coklat fudge. Ada beberapa faktor mengapa kek jadi merekah iaitu:

1. Suhu oven terlalu tinggi
Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius.Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang.Apabila bahagian dalam mengembang,ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.


2. Terlebih serbuk penaik atau soda
Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.


3. Kek terlalu kering
Ini berpunca dari kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.

4. Acuan terlalu kecil
Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.

Kesimpulannya untuk memastikan kek tidak merekah, pastikan perkara-perkara diatas diperbetulkan dan resipi yang digunakan boleh dipercayai. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.

Mixer

 Alat whisk,hook dan K-beater (paddle)
 
Terdapat pelbagai jenis mesin pengadun di pasaran negara kita. Yang paling biasa digunakan ialah mesin pengadun tangan yang dikenali sebagai hand-mixer. Untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang kecil, hand mixer sesuai digunakan tetapi bukan semua kek boleh menggunakan mesin kecil ini. Dari pengalaman saya menggunakan mesin ini, hanya kek mentega saja yang boleh menjadi jika menggunakan mesin ini. Bila membuat kek span moden atau kek lapis, sering tidak menjadi kerana pukulannya tidak kuat untuk mengembangkan telur pada tahap maksima. Anda boleh menggunakan Kenwood atau lain-lain jenis yang komersil untuk mendapatkan hasil produk yang bagus.

Terdapat tiga alat yang biasa digunakan dengan mesin pengadun iaitu hook, paddle dan whisk.Dengan bentuk berbeza, tentunya penggunaannya juga turut berbeza. Hook yang berbentuk seperti mata kail lebih sesuai untuk kerja-kerja pengadunan pelbagai jenis doh roti. Dengan bentuknya yang sedemikian rupa membolehkan adunan digaul dengan sebati dan tidak melekat pada hook. Manakala paddle atau K beater ,digunakan untuk mengadun bahan-bahan seperti mentega dan gula dalam penyediaan kek yang memerlukan proses mengkerim seperti membuat kek mentega, kek coklat dan lain-lain. Ia juga sesuai untuk mengadun doh biskut, tat, pai dan lain-lain pastri. Alat ketiga iaitu whisk lebih sesuai untuk mengadun bahan-bahan yang perlukan proses pengembangan seperti kaedah membuih (foaming method). Umpamanya dalam proses membuat kek span, kek lapis, kek sifon dan lain-lain.Alat ini bertindak memerangkap udara dengan lebih banyak dan menjadikan adunan kembang dan naik dua kali ganda. Oleh itu, penggunaan alat yang betul dapat memastikan hasil produk yang terbaik.

Sunday, June 5, 2011

Bahan membuat roti


 1.TEPUNG
High Protein Flour atau Tepung Roti(TR) berbeza dengan Tepung Kek(TK). Didalam kandungan TR terdapat bahan-bahan pelembut yang dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan HalEhwal Pengguna dimana pelembut ini akan membuatkan roti menjadi gebu dan lembut. Tetapi bahan tersebut kurang berkesan kerana pengguna perlu membuat penambahan bahan pelembut(Bread Improver) agar roti yang dibuat menjadi lebih berkualiti lagi. Di dalam pasaran sekarang terdapat beberapa jenis Cap TR yang digunakan dalam industri bakeri. Antaranya:- Cap Bangau- Cap Timbang* Biasa digunakan oleh kedai Bakeri (Harga pasaran RM 64/25kg)- Cap Diamond- Cap Gunung Mas* Biasa digunakan dalam sektor perhotelan (Harga pasaran RM 66/25 kg)- Cap Kuda (Untuk pasaran Sabah, Labuan & Sarawak)
*Nota : kalau buat roti guna tepung selain dari yang terdapat diatas, roti akan menjadi keras.

2.GULA
Gunakan gula halus atau PX sugar, kalau rajin "blender" gula tu agar semasa membuat adunan, gula akan hancur. Jika gula tidak hancur, doh roti akan jadi mengerutu dan apabila dibakar roti akan jadi keras.

3.YEAST (Ibu Roti)
Kebanyakan industri pengeluaran roti menggunakan yis kering kerana senang dikawal proses pengembangan doh. Kalau guna yis basah kena timbang 2 kali ganda berat dari yis kering.

4.BREAD IMPROVER
Digunakan untuk melembutkan dan meringankan roti. Nama lain bagi Bread Improver adalah:
1. Bread Softner 2. Softner 3. Modular Softner 4. Magi Pro 5. S 500 6. Voltex (cecair).Untuk makluman semua, pihak pembekal akan menjual Bread Improver dengan nama yang berlainan. Jadi pengguna boleh memilih senarai nama di atas, semasa membeli Bread Improver.

5.MARGERINE/BUTTER/SHORTENINGPenggunaan bahan tersebut adalah untuk menambah ikatan struktur dalaman doh, agar menjadi roti yang berkualiti apabila dibakar. Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan disini, mengenai roti jika menggunakan bahan2 tersebut:
* Margerine - kebanyakan pengusaha bakeri menggunakan margerine apabila membuat Bun dan menggunakan Shortening untuk membuat Sandwich Bread. Jika menggunakan Margerine, pengguna tidak perlu menyapu telur pada doh sebelum dibakar.Selepas dibakar, dimana bun masih panas, sapukan Butter atau Apricot glaze, untuk mengilatkan Bun sebelum di pamerkan.
* Butter - Pastinya bun sedap dimakan apabila resepinya menggunakan Butter, tetapi para pengusaha bakeri tidak menggunakan Butter kerana kosnya yang mahal. Anda boleh menggunakan Butter jika hasilan bakeri untuk kegunaan sendiri atau keluarga.
* Shortening - Lemak Sayuran. Kebanyakan pengusaha bakeri menggunakannya apabila membuat roti besar seperti Potatoe Bread, Garlic Bread, Sandwich Bread atau Whole Meal Bread. Sebelum dibakar, hendaklah doh roti tersebut disapukan telur agar hasilan nya tidak kelihatan pucat.

6.SUSU TEPUNG
Pengguna boleh menggunakan susu tepung seperti Dutch Lady, Lactogen,Fernleaf dan lain-lain untuk menghasilkan ban atau roti yang enak dimakan. Tetapi banyak pengusaha bakeri menggunakan Susu Tepung timbang dimana dijual pada harga murah. Boleh juga menggunakan UHT Milk (Yg cair-sejuk) yang akan menghasilkan ban yang lebih sedap lagi.

7.TELURKebanyakan pengusaha bakeri menggunakan telur yang kulitnya berwarna putih. Untuk pengetahuan semua, telur jenis ini mengandungi kandungan air yang tinggi dan dijual pada harga yang murah. Biasanya pengusaha bakeri menggunakan telur gred B, untuk membuat roti atau kek.

8.AIRGunakan air sejuk untuk mengawal proses pengembangan doh. Jika menggunakan air yg tidak sejuk, dikhuatiri, pengguna tidak dapat mengawal pengembangan yis kerana jika suhu yang panas, yis akan kembang terlalu cepat, yang pada akhirnya akan menjejaskan kualiti roti.

Sumber : http://cheffarid.blogspot.com

Jenis-jenis gula dan penggunaannya

Di pasaran terdapat berbagai-bagai jenis gula. Samada untuk masakan harian ataupun untuk baking seperti membuat kek,biskut, roti dan sebagainya, kita hendaklah tahu kegunaan dan kesesuaian gula itu dengan produk yang hendak kita hasilkan.
1. Gula pasir (coarse sugar)
Jenis ini adalah yang paling mudah didapati. Ia bewarna putih dan butir-butir gula agak kasar. Ia sesuai untuk kegunaan harian seperti membancuh minuman dan membuat kuih-muih. Jika anda hendak membuat gula hangus untuk puding atau kek,cairkan gula pasir ini diatas api yang sederhana hingga gula cair dan keperangan,kemudian baru dimasukkan air dan kacau hingga cair.
2. Gula halus (fine granulated sugar)
Gula halus jenis ini bewarna putih dan sesuai untuk membuat kek kerana butir-butir gulanya yang halus mudah cair apabila dipukul bersama mentega ataupun dipukul bersama telur.
3. Gula kastor (castor sugar)
Gula ini bewarna putih dan ianya pilihan yang paling ideal untuk membuat kek,biskut, pastri, roti dan lain-lain. Butir-butir gulanya lebih halus dari gula halus dan ia mudah cair apabila dipukul bersama mentega atau telur. Sekiranya gula ini tiada , boleh gunakan gula halus.
4. Gula aising (icing sugar/confectioners sugar)
Gula ini adalah yang paling halus dalam kategori gula putih. Ia bukan 100 peratus gula kerana telah dicampur dengan sedikit tepung jagung. Ia jarang digunakan dalam pembuatan kek tetapi ada digunakan dalam pembuatan biskut jenis piping untuk mendapatkan tekstur yang lembut supaya mudah dipicit keluar.Gula ini biasa digunakan untuk membuat aising mentega dan membuat fondant atau pes gula (sugarpaste).
5. Gula perang (brown sugar)
Terbahagi kepada dua jenis iaitu light/dark brown.Biasanya warna yang lebih gelap mempunyai rasa gula perang yang lebih kuat. Gula perang ini selalunya kasar dan saya selalu kisar supaya ia lebih halus dan mudah dipukul bersama mentega. Gula perang ini selalunya digunakan untuk membuat biskut seperti cip coklat,biskut halia, kek buah-buahan dan lain-lain yang memerlukan rasa gula yang lebih kuat.
6. Gula merah/gula melaka/gula kabung
Gula ini selalunya digunakan untuk membuat kuih-muih tempatan seperti kasui, kuih lompang,kuih buah melaka dan sebagainya. Gula merah biasanya berpasir.Setelah melarutkan dalam air panas, ia hendaklah ditapis bagi membuang kotorannya. Gula melaka dan gula kabung agak keras dan memerlukan pisau untuk membelahnya. Rasa kedua-dua gula ini lebih sedap dari gula merah biasa. Ianya dijadikan inti untuk kuih buah melaka.
7. Sirap emas (golden syrup)
Ia bewarna keemasan dan rasanya seakan rasa gula hangus tetapi tidak sekuat rasa gula hangus yang asli. Ia adalah bahan sampingan dari pemprosesan gula. Ia selalunya menjadi bahan penambah rasa untuk biskut, kek atau pencuci mulut.
8. Gula hitam (treacle @molasses)
Adalah bahan sampingan dari pemprosesan gula dan ia bewarna gelap seakan kehitaman. Digunakan sebagai bahan penambah rasa untuk kek dan pencuci mulut ala barat.
9. Sirap gula (corn syrup/glucose syrup)
Cecair jernih yang pekat. Dihasilkan secara komersil untuk memudahkan tugas membuat aising krim mentega atau fondant tanpa perlu membuat sendiri sirap gula

Perbezaan mentega, marjerin dan shortening

Mentega
Apakah yang dimaksudkan dengan mentega? Mentega adalah sejenis produk tenusu asli (susu lembu) yang telah melalui pemprosesan moden bagi memisahkan lemak susu dan cecair. Lemak susu itu dijadikan pepejal dan dibungkus seperti produk yang ada hari ini.Dinegara kita terdapat dua jenis mentega yang biasa didapati di pasaraya iaitu mentega tulin (pure butter) dan mentega lepa susu (dairy spread butter). Contoh mentega tulin adalah seperti Golden Churn, Tatura, SCS dan lain-lain. Manakala mentega lepa susu pula ialah Buttercup,Butterlite dan lain-lain. Perbezaan yang nyata ialah dari segi harga dimana mentega tulin harganya lebih mahal berbanding mentega lepa susu. Mengapa? Ini adalah kerana mentega tulin mengandungi kandungan lemak susu yang tinggi sehingga 80 peratus dari kandungan beratnya. Selebihnya adalah bahan-bahan lain seperti cecair, garam dan lain-lain.Kek yang menggunakan mentega tulin lebih sedap rasanya berbanding mentega lepa susu kerana kandungan lemak susunya yang tinggi. Ia membangkitkan rasa yang lebih enak dan aroma yang lebih harum untuk kek kita. Bagaimanapun, kerana harganya yang lebih mahal, ramai pengguna yang memilih produk yang lebih murah seperti mentega lepa susu. Selain dari membuat kek, mentega lepa susu guna sesuai untuk disapu diatas roti atau biskut. Mentega lepa susu lebih murah harganya kerana kandungan lemak susunya tidak tinggi seperti mentega tulin.Ia juga dicampurkan dengan minyak kelapa sawit, susu tepung dan garam. Jika kita perhatikan pada kertas bungkusan pada mentega tulin, kita akan dapati terdapat perkataan bergaram dan tidak bergaram (salted and unsalted butter). Kedua-duanya boleh digunakan.Jika mentega itu telah bergaram, tidak perlulah kita masukkan garam lagi dalam adunan kek kita .

Panduan Penyimpanan
Mentega adalah bahan yang mudah lembik apabila dibiarkan pada suhu bilik pada jangkamasa yang lama. Oleh itu ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila hendak digunakan.Apabila menyimpan mentega, pastikan ia berbalut dengan elok dan diletakkan di tempat simpanan khas. Jangan campurkan ia dengan bahan-bahan makanan lain kerana mentega mudah menyerap bau-bauan dari makanan lain. Mentega mempunyai jangkahayat yang lama iaitu lebih kurang 1 tahun dari tarikh pengilangannya. Pastikan anda membeli mentega yang belum tamat tempohnya.

Tips Penggunaan
1. Anda boleh memilih menggunakan mentega tulin atau lepa susu.Dari segi tekstur,ianya lebih kurang sama tetapi dari segi rasa, mentega tulin lebih sedap.
2. Keluarkan mentega dari peti sejuk kira-kira 30 - 45 minit sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.
3. Untuk mempercepatkan mentega lembut, potong dadu kecil-kecil dan biarkan sebentar. Ada juga orang yang meletakkan mentega atas oven yang sedang dipanaskan. Tapi hati-hati jangan lama sangat kerana mentega akan cair kerana terlalu panas.
4. Untuk melembutkan mentega, tidak perlu memanaskan dalam ketuhar gelombang mikro kerana ia akan cair, kecuali jika memang anda nak gunakan mentega cair.
5. Mentega yang terlalu lembik sudah tidak sesuai untuk membuat kek atau biskut kerana akan lebih berminyak daripada keadaan biasa.

Margerine and Shortening

>>Crisco adalah jenama sejenis shortening

Marjerin
Marjerin adalah bahan gantian kepada mentega kerana harganya yang lebih murah. Ia diperbuat daripada lemak sayuran ataupun lemak haiwan. Di negara kita, marjerin diperbuat dari minyak kelapa sawit, garam, air,pewarna, perisa, antipengoksida dan lain-lain. Ia bewarna kuning dan tidak mengandungi lemak susu. Bagi kebanyakan industri bakeri, mereka mengunakan marjerin untuk menjimatkan kos dan menambah perisa seperti butteroil dan lain-lain supaya rasanya sama seperti menggunakan mentega. Saya juga kadangkala mencampurkan marjerin dan mentega tulin bagi mendapatkan rasa seperti mentega untuk membuat kek dan juga biskut. Kek mentega yang menggunakan campuran dua bahan ini elok gebunya dan kurang berminyak jika dibandingkan dengan menggunakan majerin 100 peratus. Untuk membuat krim mentega sejenis marjerin bernama krimwell digunakan. Ia bewarna putih dan sesuai dicampurkan dengan mentega untuk membuat krim ini.

Panduan Penyimpanan
Marjerin tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana ia keras pada suhu bilik. Marjerin yang telah dibuka hendaklah disimpan di dalam bekas bertutup rapat bagi menghindarkan ia menyerap bau-bauan dari makanan lain. Letakkan ia dalam almari yang kering dan dingin. Jangan simpan di tepi dapur atau tempat panas kerana ia akan cair.

Shortening
Shortening adalah lemak sayuran putih yang berkalori tinggi dan tidak mengandungi karbohidrat atau protin. Ia bewarna putih dan sering digunakan dalam pembuatan pastri, roti,krim mentega dan lain-lain. Shortening jarang digunakan dalam pembuatan kek tetapi ia ada digunakan sedikit dalam pembuatan biskut. Anda perlu berhati-hati apabila membeli lemak putih ini kerana ada sejenis lemak putih yang dinamakan LARD adalah diperbuat dari lemak babi.Cara penyimpanan adalah sama dengan marjerin.

Alat-alat Timbangan



Peralatan menyukat bahan- penimbang digital, cawan dan sudu

Ada pelbagai cara menyukat bahan-bahan.Ibu-ibu kita dahulu menyukat bahan dengan gelas, cawan, mangkuk, sudu makan dan ada juga yang main agak-agak saja atau cukup basah. Apabila buat kuih atau kek sekejap jadi dan sekejap tak jadi. Maklumlah, alat penyukatnya berubah-ubah,hari ni pakai cawan, esok lusa pakai mangkuk pula. Dengan kemudahan moden sekarang, pelbagai alat dicipta untuk memudahkan anda menimbang atau menyukat bahan-bahan. Ada penimbang digital, penimbang jarum(spring) atau pun cawan yang standard. Semuanya ada dijual di kedai bahan kek ataupun di pasaraya biasa. Di Malaysia, kita menggunakan timbangan metrik menggantikan timbangan paun (lb) dan aun (oz).Tetapi jika kita rajin melayari internet, kita boleh dapati resipi-resipi orang Amerika banyak yang menggunakan cawan (cup) dan paun. Memang bermasalah jika kita hendak mencuba resipi mereka kerana terpaksa menukarkannya kepada gram.

Berikut adalah carta ringkas sukatan imperial dan juga metrik.
1 oz - 25 gm
9 oz - 250 gm
16oz (1 lb) - 450 gm
2 lb 4 oz - 1 kg
1 cawan mentega - 250 gm
1 cawan gula - 250 gm
1 cawan tepung - 125 gm
2 cawan tepung - 250 gm
1 camca kecil/teh - 5 gm

Tip Menyukat Bahan

1. Adalah lebih mudah dan tepat jika menggunakan penimbang digital.
2. Apabila menyukat tepung, gemburkan atau ayakkan ia dahulu baru disukat atau ditimbang.Jika menyukat dengan cawan, jangan ditekan tepung itu kerana ia akan menjadi padat dan sukatannya telah berlebihan. Ratakan permukaannya dengan pisau.Ia tak sepatutnya disukat membumbung.
3. Sudu/camca kecil atau sudu/camca teh, sukatannya hampir sama tetapi sudu makan dan sudu besar ianya berlainan.
4. Cecair boleh disukat dengan gram atau dengan mililiter (ml). 100 gm air dengan 100 ml air adalah lebih kurang sama sukatannya.

Fungsi Bahan Penaik

Serbuk penaik, krim tartar dan soda bikarbonat.
Terdapat 3 jenis bahan penaik yang selalu digunakan dalam pembuatan kek, pastri mahupun kuih-muih. Ianya ialah serbuk penaik (baking powder), serbuk soda (soda bikarbonate/sodium bikarbonate) dan serbuk tartar (cream of tartar). Ketiga-tiga bahan ini juga dikenali sebagai bahan penaik kimia atau chemical leaveners. Ia berbentuk serbuk putih dan boleh dibeli di pasaraya dan kedai-kedai bahan kek. Fungsinya adalah untuk menaikkan dan meringankan adunan kek/kuih agar lebih gebu.

Bahan penaik yang paling sering digunakan ialah serbuk penaik. Terdapat dua jenis serbuk penaik iaitu yang jenis biasa dan jenis berganda (double -action baking powder).Jenis biasa digunakan dalam kebanyakan kek manakala jenis berganda digunakan untuk kek kukus atau kuih-muih kukus seperti pau, apam dan sebagainya. Ia bertindak dua kali lebih kuat dari biasa dan menjadikan kek atau kuih lebih gebu dan mekar.

Soda bikarbonat pula sering digunakan dalam kebanyakan kek, biskut atau kuih yang berasid seperti menggunakan susu masam, jus buah-buahan, serbuk koko, gula hangus , puri buah-buahan dan lain-lain. Soda bikarbonat adalah bersifat alkali dan ia akan bertindak menutralkan asid yang terdapat dalam adunan kek dan kuih tersebut dan menaikkan kek/kuih apabila dimasak.

Serbuk krim tartar agak jarang digunakan tetapi ada juga resipi yang menggunakan soda dan krim tartar bersama. Krim tartar dihasilkan daripada asid tartarik dan tentunya ia bersifat asid.
Biasanya serbuk ini dicampurkan dalam telur putih bagi membuat meringue. Ianya digunakan untuk membuat kek sifon atau membuat kek keju bakar.

Fungsi-fungsi Bahan Kek

Terdapat beberapa jenis bahan asas yang sering digunakan dalam pembuatan kek.Bahan-bahan tersebut ialah tepung gandum, gula, lemak dan telur. Apakah fungsi bahan-bahan ini? Setiap satunya memainkan peranan penting untuk menghasilkan sebiji kek yang enak dan menyelerakan
 
1. Tepung gandum - Dalam pembuatan kek, tepung yang sering digunakan adalah tepung protin rendah (low protein) seperti tepung kek, tepung superfine, Red Rose dan sebagainya. Anda boleh gunakan tepung gandum biasa(serbaguna/protin sederhana) tetapi teksturnya lebih kasar berbanding jika menggunakan tepung protin rendah yang menjadikan kek lebih halus.Tepung gandum berfungsi sebagai agen penyerap cecair dari telur/air dan membentuk struktur yang kukuh buat kek itu. Tanpa tepung yang cukup, kek menjadi lembik seperti puding.

2. Gula - Gula berfungsi memberikan rasa manis dan melembutkan adunan.Ada sesetengah kek yang mempunyai kandungan gula yang tinggi agar menjadi pengawet semulajadi supaya kek tahan lebih lama, contohnya kek buah. Dalam kek mentega, gula dicampur dengan mentega dan dipukul hingga kembang dan gebu.Gula ini membantu lemak memerangkap sel-sel udara yang penting untuk menaikkan adunan kek nanti. Dalam kek yang menggunakan kaedah membuih (foaming method) seperti membuat kek span, gula membantu menstabilkan buih-buih telur supaya mudah digaul dengan bahan-bahan lain seperti tepung gandum.

3. Lemak - Dalam pembuatan kek, lemak yang digunakan adalah seperti mentega atau majerin. Lemak berfungsi melembut dan melincirkan glutin dalam tepung dan menjadikan kek lembut dan halus. Dalam kek mentega, lemak yang digunakan adalah dalam bentuk pepejal seperti mentega atau majerin. Untuk mendapatkan kek yang lebih sedap, mentega adalah dicadangkan tetapi kebanyakan pengusaha bakeri mencampurkan mentega dan majerin untuk menjimatkan kos dan volume yang lebih baik bagi kek tersebut.Lemak ini dipukul bersama gula untuk memerangkap sel-sel udara dan menjadikan ia ringan dan gebu. Lemak yang digunakan dalam kek span adalah dalam bentuk cecair samada mentega cair, majerin cair atau minyak masak. Ia memberi kelembutan dan kelembapan kepada kek.

4. Telur - Telur berperanan menyebatikan semua adunan dan memberikan kelembapan kepada kek. Dalam kek mentega, telur yang merupakan cecair membantu menyebatikan mentega dan gula . Ia juga membantu mencairkan gula . Dalam kek span, telur adalah sumber penaik yang utama dimana sel-sel udara yang terperangkap dalam buih-buih telur itu akan mengembang apabila dibakar. Proses ini akan menaikkan kek dan menjadikan ia kembang dan gebu. Telur juga menyediakan rasa lemak dan warna kuning kepada kek.

Begitulah serba sedikit tentang peranan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan kek. Disamping bahan-bahan diatas, ada banyak lagi bahan-bahan tambahan yang dimasukkan untuk memberikan perbezaan rasa dan warna kepada kek.

Jenis-jenis Tepung

1. Tepung Gandum Serbaguna (All Purpose Flour)
Tepung ini paling mudah didapati di pasaran. Ia sesuai untuk membuat pelbagai jenis kuih-muih, roti, pastri ,kek atau biskut. Tepung ini adalah tepung protin sederhana dan kandungan protinnya adalah 9 - 10.5 %.

2. Tepung Protin Tinggi
Tepung ini juga dikenali sebagai tepung roti dan ia amat sesuai untuk membuat roti dan produk-produk pastri. Kandungan protin adalah tinggi iaitu 12.6 - 13.6 % .Gluten yang terhasil apabila tepung ini diuli memberi kekenyalan kepada roti.

3. Tepung Pau
Tepung ini sesuai untuk membuat pau kerana sangat cerah dan putih. Pau juga akan menjadi lembut dan halus. Kandungan protinnya ialah 9.5 - 10.5 %.

4. Tepung Kek
Ia juga dikenali sebagai tepung superfine . Tepung ini jenis rendah protin dan sesuai untuk membuat pelbagai jenis kek dan pastri.

5. Tepung Ros Merah (Red Rose Flour)
Tepung ini mengandungi sedikit tepung jagung dan bahan perangup biskut. Oleh itu ia sangat sesuai untuk membuat pelbagai jenis biskut.

6. Tepung Hong Kong
Tepung ini juga dikenali sebagai 'water lily flour' dan ia sangat putih. Ia sesuai untuk membuat kek lapis dan menjadikan kek lembut.

7. Tepung Hoen Kwee
Tepung ini diperbuat dari sejenis kacang dan sering digunakan untuk membuat kuih-muih terutama di Indonesia. Ia boleh didapati dalam peket-peket kecil seberat 85 gm dan terdapat dalam pelbagai warna seperti kuning, putih, hijau dan merah.

8. Tepung Naik Sendiri (Self-Raising Flour)
Tepung ini adalah sejenis tepung kek dan ia telah mengandungi serbuk penaik dan soda bikarbonat dalam kadar yang tertentu. Jika anda menggunakan tepung ini untuk membuat kek, tidak perlulah menambah serbuk penaik dalam resepi anda.

Lain-lain jenis tepung yang biasa kita gunakan adalah tepung kastad, tepung jagung, tepung ubi, tepung beras, tepung pulut, tepung susu dan lain-lain yang digunakan hanya sedikit sahaja. Oleh itu, pastikan anda menggunakan tepung yang betul agar hasil produk tersebut memuaskan hati anda.

First Timer!

Ada terdapat berbagai jenis kek seperti kek mentega, kek span , kek sifon, kek keju dan lain-lain. Kek yang berlainan jenis ini mempunyai kaedah membuatnya yang berlainan. Sebagai orang yang baru hendak belajar membuat kek, anda hendaklah tahu beberapa perkara penting dalam pembuatan kek ini. Antaranya ialah :

1. Mengenali bahan membuat kek.
Bahan-bahan yang biasa digunakan ialah tepung kek, gula kastor, mentega/majerin, telur, serbuk penaik, soda bikarbonat, serbuk koko dan sebagainya. Anda boleh pergi ke pasaraya atau kedai menjual bahan kek dan mengenali bahan-bahan ini.

2. Peralatan membuat kek
Peralatan yang penting ialah mixer(pengadun). Buat permulaan anda boleh gunakan pengadun tangan untuk membuat kek mentega, kek span dan lain.Peralatan lain ialah pemukul telur (whisk), scrapper, mangkuk pengadun, senduk dan lain-lain. Ketuhar juga sangat penting. Untuk menghasilkan kek yang cantik dan masak dengan rata, sebaiknya gunakan ketuhar bersaiz besar seperti Europa, Zanussi ,Elba dan lain-lain yang berharga dalam lingkungan RM1000.

3. Kaedah Asas
Untuk membuat kek mentega, kaedah yang digunakan ialah kaedah mengkerim. Kaedah mengkerim ialah memukul mentega dan gula hingga kembang dan gebu.Kemudian barulah dimasukkan telur dan bahan-bahan lain. Untuk membuat kek span pula, kaedah membuih (foaming) pula digunakan iaitu memukul telur dan gula hingga betul-betul kembang dan gebu, barulah dimasukkan bahan-bahan lain.

Lain-lain perkara yang perlu diketahui ialah :
(a). Setengah jam sebelum memulakan kerja, keluarkan mentega dan telur dari peti sejuk supaya berada dalam suhu bilik. Jika guna mentega yang keras, agak sukar untuk memukulnya. Telur yang sejuk pula lambat kembang. Sediakan bahan-bahan lain di atas meja.

(b). Panaskan ketuhar kepada 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan kek kedalamnya. Adunan kek akan bertindakbalas lebih cepat dalam ketuhar yang panas.

(d) Jangan buka pintu ketuhar sebelum kek set. Dalam 30 minit pertama , kek sedang naik dan mengembang.Jika dibuka ketuhar,haba akan keluar dan proses mengembang akan terbantut. Kek akan jadi mendap.

(e) Baca arahan dalam resipi dengan teliti untuk menentukan kaedah yang digunakan.

(f) Bahan-bahan kering seperti tepung kek, serbuk penaik, soda atau koko hendaklah diayak bersama.

(g) Buat resipi yang mudah dulu seperti Kek Mentega Vanila, Kek Mentega Oren dan lain-lain.

Kesimpulannya, jangan takut untuk bereksperimen. Tidak mengapa jika percubaan pertama anda tidak menjadi kerana anda mungkin membuat kesilapan di sana-sini.Tetapi anda perlu belajar dari kesilapan pertama itu dan memperbaikinya pada masa akan datang. Good Luck!