Monday, June 6, 2011

Kek Merekah? Kenapa?


>>Kek yang mempunyai komposisi bahan yang seimbang dan suhu oven yang stabil tidak akan merekah.
 
Adakalanya kek yang kita buat menjadi merekah seperti gunung berapi yang meletus.Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa jadi begitu. Saya pernah membuat sebiji kek coklat moist yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi. Apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat luas. Nasib baiklah apabila sejuk, rekahannya kecut sedikit dan bolehlah ditutup dengan topping coklat fudge. Ada beberapa faktor mengapa kek jadi merekah iaitu:

1. Suhu oven terlalu tinggi
Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius.Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang.Apabila bahagian dalam mengembang,ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.


2. Terlebih serbuk penaik atau soda
Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.


3. Kek terlalu kering
Ini berpunca dari kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.

4. Acuan terlalu kecil
Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.

Kesimpulannya untuk memastikan kek tidak merekah, pastikan perkara-perkara diatas diperbetulkan dan resipi yang digunakan boleh dipercayai. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.

No comments:

Post a Comment