Mentega
Apakah yang dimaksudkan dengan mentega? Mentega adalah sejenis produk tenusu asli (susu lembu) yang telah melalui pemprosesan moden bagi memisahkan lemak susu dan cecair. Lemak susu itu dijadikan pepejal dan dibungkus seperti produk yang ada hari ini.Dinegara kita terdapat dua jenis mentega yang biasa didapati di pasaraya iaitu mentega tulin (pure butter) dan mentega lepa susu (dairy spread butter). Contoh mentega tulin adalah seperti Golden Churn, Tatura, SCS dan lain-lain. Manakala mentega lepa susu pula ialah Buttercup,Butterlite dan lain-lain. Perbezaan yang nyata ialah dari segi harga dimana mentega tulin harganya lebih mahal berbanding mentega lepa susu. Mengapa? Ini adalah kerana mentega tulin mengandungi kandungan lemak susu yang tinggi sehingga 80 peratus dari kandungan beratnya. Selebihnya adalah bahan-bahan lain seperti cecair, garam dan lain-lain.Kek yang menggunakan mentega tulin lebih sedap rasanya berbanding mentega lepa susu kerana kandungan lemak susunya yang tinggi. Ia membangkitkan rasa yang lebih enak dan aroma yang lebih harum untuk kek kita. Bagaimanapun, kerana harganya yang lebih mahal, ramai pengguna yang memilih produk yang lebih murah seperti mentega lepa susu. Selain dari membuat kek, mentega lepa susu guna sesuai untuk disapu diatas roti atau biskut. Mentega lepa susu lebih murah harganya kerana kandungan lemak susunya tidak tinggi seperti mentega tulin.Ia juga dicampurkan dengan minyak kelapa sawit, susu tepung dan garam. Jika kita perhatikan pada kertas bungkusan pada mentega tulin, kita akan dapati terdapat perkataan bergaram dan tidak bergaram (salted and unsalted butter). Kedua-duanya boleh digunakan.Jika mentega itu telah bergaram, tidak perlulah kita masukkan garam lagi dalam adunan kek kita .
Panduan Penyimpanan
Mentega adalah bahan yang mudah lembik apabila dibiarkan pada suhu bilik pada jangkamasa yang lama. Oleh itu ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila hendak digunakan.Apabila menyimpan mentega, pastikan ia berbalut dengan elok dan diletakkan di tempat simpanan khas. Jangan campurkan ia dengan bahan-bahan makanan lain kerana mentega mudah menyerap bau-bauan dari makanan lain. Mentega mempunyai jangkahayat yang lama iaitu lebih kurang 1 tahun dari tarikh pengilangannya. Pastikan anda membeli mentega yang belum tamat tempohnya.
Tips Penggunaan
1. Anda boleh memilih menggunakan mentega tulin atau lepa susu.Dari segi tekstur,ianya lebih kurang sama tetapi dari segi rasa, mentega tulin lebih sedap.
2. Keluarkan mentega dari peti sejuk kira-kira 30 - 45 minit sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.
3. Untuk mempercepatkan mentega lembut, potong dadu kecil-kecil dan biarkan sebentar. Ada juga orang yang meletakkan mentega atas oven yang sedang dipanaskan. Tapi hati-hati jangan lama sangat kerana mentega akan cair kerana terlalu panas.
4. Untuk melembutkan mentega, tidak perlu memanaskan dalam ketuhar gelombang mikro kerana ia akan cair, kecuali jika memang anda nak gunakan mentega cair.
5. Mentega yang terlalu lembik sudah tidak sesuai untuk membuat kek atau biskut kerana akan lebih berminyak daripada keadaan biasa.
No comments:
Post a Comment