Di pasaran terdapat berbagai-bagai jenis gula.  Samada untuk masakan harian ataupun untuk baking seperti membuat  kek,biskut, roti dan sebagainya, kita hendaklah tahu kegunaan dan  kesesuaian gula itu dengan produk yang hendak kita hasilkan. 
1. Gula pasir (coarse sugar)
Jenis  ini adalah yang paling mudah didapati. Ia bewarna putih dan butir-butir  gula agak kasar. Ia sesuai untuk kegunaan harian seperti membancuh  minuman dan membuat kuih-muih. Jika anda hendak membuat gula hangus  untuk puding atau kek,cairkan gula pasir ini diatas api yang sederhana  hingga gula cair dan keperangan,kemudian baru dimasukkan air dan kacau  hingga cair.
2. Gula halus (fine granulated sugar)
Gula  halus jenis ini bewarna putih  dan  sesuai untuk membuat kek kerana  butir-butir gulanya yang halus mudah cair apabila dipukul bersama  mentega ataupun dipukul bersama telur.
3. Gula kastor (castor sugar)
Gula  ini bewarna putih dan ianya pilihan yang paling ideal untuk membuat  kek,biskut, pastri, roti dan lain-lain. Butir-butir gulanya lebih halus  dari gula halus dan ia mudah cair apabila dipukul bersama mentega atau  telur. Sekiranya gula ini tiada , boleh gunakan gula halus.
4. Gula aising (icing sugar/confectioners sugar)
Gula  ini adalah yang paling halus dalam kategori gula putih. Ia bukan 100  peratus gula kerana telah dicampur dengan sedikit tepung jagung. Ia  jarang digunakan dalam pembuatan kek tetapi ada digunakan dalam  pembuatan biskut jenis piping untuk mendapatkan tekstur yang lembut  supaya mudah dipicit keluar.Gula ini biasa digunakan untuk membuat  aising mentega dan membuat fondant atau pes gula (sugarpaste).
5. Gula perang (brown sugar)
Terbahagi  kepada dua jenis iaitu light/dark brown.Biasanya warna yang lebih gelap  mempunyai rasa gula perang yang lebih kuat. Gula perang ini selalunya  kasar dan saya selalu kisar supaya ia lebih halus dan mudah dipukul  bersama mentega. Gula perang ini selalunya digunakan untuk membuat  biskut seperti cip coklat,biskut halia, kek buah-buahan dan lain-lain  yang memerlukan rasa gula yang lebih kuat.
6. Gula merah/gula melaka/gula kabung
Gula  ini selalunya digunakan untuk membuat kuih-muih tempatan seperti kasui,  kuih lompang,kuih buah melaka dan sebagainya. Gula merah biasanya  berpasir.Setelah melarutkan dalam air panas, ia hendaklah ditapis bagi  membuang kotorannya. Gula melaka dan gula kabung agak keras dan  memerlukan pisau untuk membelahnya. Rasa kedua-dua gula ini lebih sedap  dari gula merah biasa. Ianya dijadikan inti untuk kuih buah melaka.
7. Sirap emas (golden syrup)
Ia  bewarna keemasan dan rasanya seakan rasa gula hangus tetapi tidak  sekuat rasa gula hangus yang asli. Ia adalah bahan sampingan dari  pemprosesan gula. Ia selalunya menjadi bahan penambah rasa untuk biskut,  kek atau pencuci mulut.
8. Gula hitam (treacle @molasses)
Adalah  bahan sampingan dari pemprosesan gula dan ia bewarna gelap seakan  kehitaman. Digunakan sebagai bahan penambah rasa untuk kek dan pencuci  mulut ala barat.
9. Sirap gula (corn syrup/glucose syrup)
Cecair  jernih yang pekat. Dihasilkan secara komersil untuk memudahkan tugas  membuat aising krim mentega atau fondant tanpa perlu membuat sendiri  sirap gula
 
No comments:
Post a Comment