Membuat kek ni kadang-kadang cantik gebunya dan kadang-kadang pula  kurang menjadi. Walaupun kita menggunakan resipi yang sama,tetapi teknik  yang digunakan tidak seragam. Contohnya masa memukul mentega dan gula  atau cara menggaul berbeza setiap kali kita membuat kek.Itulah sebabnya  hasilnya pun tidak sama. Jadi adalah penting kita menyeragamkan teknik  mengadun seperti yang diamalkan oleh bakeri-bakeri supaya produk kita  sentiasa sama terutama untuk orang yang mengambil tempahan kek.
Dalam perkara membuat kek ini memang sering timbul masalah. Antara masalah yang sering dihadapi ialah seperti berikut :
1. Kek Tenggelam Di Tengah
Didalam  ketuhar, kek naik dengan elok tetapi apabila ia dikeluarkan dan  disejukkan, permukaannya menjadi mendap.Ada beberapa perkara yang  menyebabkan ini berlaku.Antaranya sukatan tepung dalam kek tidak  mencukupi. Apabila tepung kurang, ia tidak dapat menampung struktur kek,  jadi ia mendap di tengah. Kek juga kemungkinan belum cukup masak di  bahagian tengahnya. Jadi adalah penting untuk anda menyucuk bahagian  tengah kek dengan lidi apabila cukup masanya. Jika ada bahan yang  melekit, bakar lagi 10 minit hingga bahagian tengah masak. Kemungkinan  lain ialah mentega dan gula tidak dipukul sehingga gebu. Ini menyebabkan  ia kekurangan gelembung udara yang akan mengembang apabila terkena  haba.
2. Kek Merekah di permukaan
Perkara  ini adalah biasa jika rekahannya kecil sahaja dan ia akan rapat apabila  sejuk. Tetapi jika rekahannya besar, ia akan menjejaskan rupabentuk kek  anda. Ada beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku.  Antaranya ialah suhu ketuhar yang terlalu panas ataupun kek anda agak  kering kerana terlebih tepung atau kekurangan cecair. Jadi setkan  ketuhar pada suhu yang biasa untuk kek iaitu 180 darjah celcius. Semak  semula resipi anda agar kandungan bahannya seimbang. Gunakan juga saiz  tin pembakar yang bersesuaian.
3. Kek tidak masak di tengah tetapi hangus di bahagian tepi.
Perkara  ini mungkin berkaitan dengan ketuhar anda. Ia mungkin tidak berfungsi  dengan baik dan perlulah diservis ataupun ditukar baru.
4. Kek padat dan berminyak
Proses  memukul mentega dan gula hendaklah dilakukan hingga ia benar-benar  kembang dan gebu. Ia ringan dan warnanya kuning keputihan. Masa memukul  bergantung kepada pengadun masing-masing. Apabila memasukkan telur  pula,hendaklah dimasukkan sebiji dan dipukul sebati barulah dimasukkan  yang lain.Kemudian barulah masukkan tepung dan susu. Jika proses  dilakukan dengan betul, insyallah kek anda akan jadi gebu dan lembut.
 
No comments:
Post a Comment